Kepentingan belajar bahasa Sepanyol
Di negara Malaysia, minat menguasai bahasa asing semakin meningkat. Boleh dikatakan semua Universiti Awam dan beberapa Universiti Swasta di negara kita menawarkan kursus bahasa asing kepada para pelajar begitu juga di sekolah-sekolah. Ini kerana banyak kelebihan yang boleh diperolehi dengan menguasai bahasa asing terutamanya bahasa Sepanyol.
Menurut Fuller (1987) antara sebab-sebab kita mempelajari bahasa asing adalah kerana:
a) bahasa asing itu ibarat surat akuan yang sama nilainya dengan ijazah dalam kimia dan sangat berguna apabila diletakkan dalam resume.
b) mengetahui bahasa asing merupakan satu kelebihan dalam mengenali dunia yang lebih besar.
c) kebolehan berbahasa asing dan kesungguhan mempelajarinya akan mengagumkan sahabat asing yang berasal dari negara itu kerana kita cuba memahami budaya dan cuba berhubungan dengan mereka menggunakan bahasa tersebut.
d) bahasa asing akan membuka pintu kepada budaya bahasa asing dan membuka mata kita kepada dunia luar.
e) bila kita mempelajari bahasa asing, kita akan lebih mempelajari bahasa kita.
f) proses mempelajari bahasa asing adalah sangat menyeronokkan.
Bahasa Sepanyol merupakan bahasa ibunda kepada 21 buah negara seluruh dunia. Jumlah penuturnya sahaja setakat tahun 2015 adalah seramai 470 juta. Jumlah penuturnya meningkat dari hari ke hari dan merupakan antara bahasa yang paling popular yang dipelajari oleh penutur dari negara luar.
Mempelajari bahasa Sepanyol merupakan suatu pengalaman yang baharu dan menyeronokkan, pelajar akan didedahkan dengan sebutan huruf dalam bahasa tersebut terlebih dahulu bermula dengan huruf A hingga z dimana sebutan huruf-huruf tersebut agak lucu dan menghiburkan apabila disebut.
Melalui bahasa Sepanyol, pelajar dapat mengenali dengan lebih dekat lagi budaya dan masyarakat Sepanyol yang sememangnya kaya dengan nilai-nilai budaya yang tinggi. Ia menjadi aset apabila berupaya bertutur dengan penutur natif dan ianya sesuatu yang membanggakan.Di peringkat universiti, kursus-kursus bahasa asing seperti bahasa Sepanyol mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan kursus-kursus ini menjadi rebutan. Pelajar mula sedar akan nilai tambah yang perlu ada dalam diri mereka dan kemahiran berbahasa asing ini memberi kelebihan pada mereka apabila bergraduat.
Menguasai bahasa Sepanyol mampu memberi kelebihan dalam mencari pekerjaan dan mengubah kehidupan ke arah yang lebih positif. Anda boleh memohon bekerja sebagai tenaga pengajar seperti pensyarah, guru bahasa, penterjemah, pentadbir di kedutaan, syarikat-syarikat antarabangsa, pegawai diplomatik, pegawai pelancongan dan sebagainya. Gaji lumayan juga menanti anda.
Individu yang memiliki kecerdasan linguistik akan secara mudah menguasai bahasa yang dipelajari dan usaha yang bersungguh-sungguh akan membantu anda memahami dengan baik bahasa ibunda anda dan seterusnya memberi ciri keunikan dalam diri anda kerana kemahiran yang anda perolehi.
Jadi apa lagi, Jom belajar bahasa Sepanyol...Tunggu post saya seterusnya... tapi sebelum itu, para pelajar perlu memberi satu alasan kenapa perlu belajar bahasa asing? sila beri jawapan dalam ruangan komen di bawah.